fbpx

Cuepacs harap dapat gaji minimum RM1,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan ( tiga kiri) menyaksikan perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-29 oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan diharap dapat merealisasikan tuntutan gaji minimum RM1,800 yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) sebelum ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, berkata, perkara itu telah dicadangkan kepada kerajaan tiga tahun lalu namun tidak dapat dilaksanakan susulan pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan.

Katanya, ketika ini anggota perkhidmatan awam masih lagi diberi gaji minimum RM1,200.

“Justeru Cuepacs mencadangkan ia (gaji minimum RM1,800) dapat dilihat semula bagi sektor awam oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Jumlah RM1,800 jika dicampur dengan elaun boleh menghampiri RM2,450. Ini menghampiri sasaran negara maju berpendapatan tinggi pada 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen pada 27 November tahun lalu,” katanya selepas Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, anggota perkhidmatan awam tetap kekal memberikan perkhidmatan dan penyampaian terbaik walaupun Perdana Menteri sudah bertukar sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun ini.

Tambah Adnan, adalah wajar sekiranya gaji minimum baharu dapat dipertimbangkan dan dilaksanakan untuk kebajikan anggota perkhidmatan awam.

“Jika berlaku bencana contohnya tanah runtuh, banjir dan sebagainya kamilah ke hadapan, menjaga keamanan dan ketenteraman.

“Kami melaksanakan tugas sebaik mungkin walaupun kerajaan berubah, tetapi sistem penyampaian tidak berubah. Justeru, kami memohon sedikit kelegaan daripada kerajaan dengan gaji minimum baharu serta tambahan gaji kepada senior sedia ada,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI