fbpx

Bomba, NGO, tunai impian Ahmad Akif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba menunjukkan cara-cara memadamkan kebakaran kepada Ahmad Akif pada program yang diadakan di Balai Bomba Senawang, Seremban hari ini. - ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan (JBPMNS) hari ini menunaikan hasrat dan impian seorang kanak-kanak sindrom down dan penghidap leukemia, Ahmad Akif Mohd. Amri, 8, untuk menjadi seorang anggota bomba.

Ia menerusi program yang di­kendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Make-A-Wish Malaysia.

Ibu kanak-kanak itu, Siti Nurul Ain Roslan, 35, berkata, Ahmad Akif merupakan anak kedua daripada empat beradik dan menghidap sindrom down sejak lahir dan disahkan pula menghidap leukimia sejak enam bulan lalu.

Dia menambah, anaknya itu ada memberitahu mahu menjadi anggota bomba dan mahu menaiki jentera agensi berkenaan.

“Pihak Make-A-Wish telah melawat Ahmad Akif di hospital dan memberi tahu akan merealisasikan impian anak saya ini untuk menjadi anggota bomba.

“Alhamdullilah hari ini Ahmad Akif terpilih. Terima kasih pihak Make-A-Wish dan Bomba yang melayan anak saya. Ahmad Akif nampak seronok ketika dia cuba memadam kebakaran dan berpeluang memanjat tangga jentera,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Senawang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Siti Nurul Ain yang merupakan seorang suri rumah memberitahu, Ahmad Akif yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seremban Jaya itu pada mulanya mengalami masalah jalan senget sejak enam bulan lalu dan dia terus membawa anaknya itu mendapatkan rawatan ke hospital.

“Apabila doktor mengambil ujian darah, mereka maklumkan sel darah putih agak tinggi dan Ahmad Akif terus dihantar ke unit kecemasan.

“Dia menghidap kanser darah atau leukimia dan mendapatkan rawatan penuh di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di Kuala Lumpur sehingga kini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI