LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak melaksanakan Medical Evacuation (Medevac) terhadap mayat lelaki yang merupakan kru kapal kargo pada kedudukan 0.9 batu nautika selatan Pulau Pangkor sekitar pukul 9 malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, kapal kargo yang berpusat di Panama itu dilaporkan dalam perjalanan menuju Phuket, Thailand apabila seorang kru lelaki mengalami kecederaan serius di kepala.
“Menurut laporan awal yang diterima daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) pada pukul 4.55 petang semalam, lokasi kapal MV One Destiny itu berada pada kedudukan 30 batu nautika selatan Pulau Pangkor.
“Sejurus menerima laporan, aset APMM diatur gerak ke lokasi bagi pemindahan mangsa ke darat.
“Mangsa, Biriulin Mikhail, 52, warga Rusia yang mengalami pendarahan serius di kepala dipercayai telah meninggal dunia di atas kapal ketika berada di perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hambali berkata, mayat mangsa selamat didaratkan di Jeti Perikanan Kampung Acheh dekat sini pada pukul 10 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Seri Manjung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat dan insiden kecemasan di laut ke MERS 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE.