Oleh IVAN AMIRUL
KUNAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Norazlinah Arif mengesahkan dirinya disahkan positif Covid-19.
Norazlinah memaklumkan perkara terbabit menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam.
Bagaimanapun, bekas pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah itu menjelaskan beliau kini sedang menjalani rawatan dan kuarantin di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
“Salam semua keluarga Kunak dan rakan taulan yang dikasihi. Adalah dimaklumkan bahawa YB Norazlinah Arif sudah melalui ujian Covid-19 yang kedua dan disahkan positif.
“Beliau kini menjalani kuarantin dan rawatan di sebuah hospital di Kota Kinabalu,” katanya.
Menerusi hantaran sama, beliau turut memaklumkan telah menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum ini selepas menjadi kontak rapat kepada ahli keluarganya yang positif wabak itu namun telah pulih sepenuhnya.
Menurutnya, beliau kini secara zahirnya berada dalam keadaan stabil selain tiada sebarang simptom Covid-19 dan memohon agar dikurniakan kesembuhan.
Terdahulu, Norazlinah yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak selepas menewasakan lima calon lain dengan majoriti 589 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.-K! ONLINE