HULU SELANGOR – Majlis Pembandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan 25 notis pengosongan tapak perkhemahan dan rekreasi yang berisiko di seluruh Hulu Selangor, berkuat kuasa hari ini.
Arahan tersebut dikeluarkan khusus buat tapak kawasan berdekatan cerun dan berisiko tinggi berlakunya kejadian yang sama seperti di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, di sini.
Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, tindakan itu selaras dengan arahan yang dikeluarkan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, semalam.
“kita telah mengeluar 25 notis kepada pengusah tapak perkhemahan yang berisiko dan bercerun di sekitar Hulu Selangor.
“Terdapat tapak yang tidak berlesan namun dalam proses pemutihan, kita dalam proses memutihkan kesemua ini mengikut SOP perlesenan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Semalam, Menteri KPKT, Nga Kor Ming mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuatkuasa pagi semalam.
Arahan tersebut merupakan langkah bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat sini berulang.-KOSMO! ONLINE.