fbpx

Afgan murung sejak pandemik, masih jumpa pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFGAN tidak malu berkongsi masalah kemurungan yang dihadapinya sejak pandemik melanda dan meluahkan apa yang dirasainya menerusi lagu baharu, Healing.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Afgan mendedahkan berdepan masalah kemurungan yang tercetus ketika fasa pandemik hingga memerlukannya mendapatkan bantuan terapi sejak dua tahun lalu.

Pemilik nama penuh Afgansyah Reza, 33, itu berkata, tiada sebab untuk berasa malu atau menyembunyikan perkara yang dirasakan mampu memberi manfaat kepada insan senasib.

Kongsi pelantun lagu Panah Asmara itu, dia mula berdepan beberapa masalah kesihatan antaranya kebimbangan melampau, insomnia dek kekangan berkarya disebabkan tidak boleh mengadakan persembahan.

“Jika sebelum ini saya bekerja keras selama 13 tahun, namun apabila pandemik melanda saya tidak boleh melakukan banyak perkara sehingga mengakibatkan depresi.

“Fasa Covid-19 adalah tahun yang sangat sukar bagi semua orang tetapi bagi impak teruk kepada saya. Disebabkan masalah itu saya memerlukan sistem sokongan seperti kawan rapat.

“Memang nampak perubahan dan hakikatnya ada hikmah di sebalik pandemik apabila selepas setahun saya berani keluar dari zon selesa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Memaklumkan masih bertemu pakar hingga ke hari ini, Afgan meluahkan rasa bangga apabila mampu menghasilkan lagu Healing yang menggambarkan situasi pulih daripada trauma.

Malah, pengalaman berdepan turun naik emosi dua tahun lalu mendorongnya lebih terbuka dengan khalayak menerusi pendedahan tersebut.

“Perkara ini dilalui oleh hampir semua orang sepanjang tempoh pandemik berlangsung menyebabkan saya terpanggil untuk berkongsi rasa.

“Diharap pendedahan ini membawa sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain terutama kepada individu yang mungkin berhadapan situasi sama,” katanya.

Tambah Afgan, selain berjumpa pakar, dia juga melakukan ikhtiar sendiri bagi melawan perasaan terpuruk yang mencengkam dada.

“Selain berjumpa kaunselor, saya turut melakukan meditasi dan rutin senamanuntuk kekal cergas serta berani mengubah penampilan diri.

“Sejak Mac lalu saya tidak lagi memakai kaca mata selepas membuat operasi lasik yang menyerlahkan perubahan besar,” katanya lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu ditemui pada sidang media Konsert Afgan Evolution di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Mengenai konsert di Dewan Plenary KLCC malam ini, Afgan akan mempersembahkan sebanyak 24 buah lagu termasuk karya daripada album mini terbaharu, +62. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI