KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Shila Amzah mendedahkan semua hubungan cintanya, sama ada sebelum berkahwin ataupun selepas bercerai memberikan pengalaman buruk buat dirinya.
Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah yang hadir dengan single terbaharu berjudul Jauh Hati memberitahu, pengalaman bercinta dengan beberapa lelaki diluahkan menerusi lagu tersebut.
“Lagu ini bukan tentang ‘ex’ (bekas suami) tetapi yang kemudian-kemudiannya juga.
“Perhubungan saya sebelum berkahwin dan bahkan selepas berkahwin (tapi enggan cerita lebih tentang itu), semuanya memberikan pengalaman buruk,” katanya kepada media usai pelancaran single tersebut, semalam di ibu kota.
Ditanya kemungkinan bekas suaminya, Haris Idraki Elias berasa kurang senang dengan penghasilan lagu yang bercerita tentang kegagalan rumah tangga mereka, Shila mempunyai alasan tersendiri mengapa lelaki itu tidak perlu terasa hati.
Penyanyi berusia 32 tahun itu menjelaskan, sebagai seorang anak seni, apa yang dipaparkan menerusi muzik berdasarkan pengalaman peribadi adalah kebebasan berkarya.
“Tak adalah. Takkan dia nak rasa tak puas hati. Mungkin dia kena Google banyak-banyak kalau nak dengar lagu ini.
“Dia sepatutnya berbangga sebab, siapa lagi nak tulis lagu pasal dia. Sudah-sudahlah nak sentap. Dah berakhir dah pun (perkahwinan).
“Saya sangat terbuka dan tiada benda yang membuatkan saya rasa takut lagi. Dia (bekas suami) tahu saya macam mana dan dia tahu yang saya memang menulis. Sesiapa yang bersama saya patut tahu fakta tersebut,” terangnya.
Ditanya sama ada kenalan rapat seperti keluarga akan mempersoalkan tindakan ‘membuka pekung’, Shila bertegas, semua orang terdekat tahu apa yang terjadi sehingga perkahwinannya berakhir dengan kegagalan.
“Akan ada lagu tentang anda, kalau anda buat sesuatu. Saya harap dia faham. Famili dia tahu. Mereka semua tahu apa yang benar-benar terjadi.
“Melainkan tiada siapa tahu apa terjadi sebelum ini dan tiba-tiba lagu ini keluar, itu mungkin saya kena terangkan.
“Jadi, disebabkan ramai tahu apa yang terjadi (sehingga kami bercerai), saya tak rasa benda ini akan jadi isu,” katanya.
Jauh Hati ditulis Shila sehari sebelum dia meninggalkan rumah bekas suami bersama anaknya, Seth Uwais, 3.
“Malam sebelum saya tinggalkan dia, saya sedang membeli-belah barangan runcit dan perasaan kosong itu mula memenuhi diri.
“Saya sedar macam ada satu yang tak kena dengan perkahwinan. Pada waktu itu terjadi, air mata mula membasahi pipi,” kata Shila kini bergelar ibu tunggal anak satu.
Shila sah bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin. – KOSMO! ONLINE