SUNGAI BULOH – Suasana hiba menyelubungi pekarangan Hospital Sungai Buloh apabila sebahagian mayat, mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm tiba di Jabatan Forensik, di sini hari ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, ahli keluarga terdekat mangsa sudah mula berkumpul di sini sejak pukul 3.30 petang tadi yang turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tzu Chin.
Setakat pukul 8 malam tadi, sebanyak lima mayat lagi dilihat tiba di Jabatan Forensik di sini yang dibawa menaiki trak polis menjadikan keseluruhan mayat yang berada di hospital adalah sebanyak 16 orang.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa mengesahkan sebanyak 11 mayat mangsa tiba di Hospital Sungai Buloh pada pukul 1.15 tengah hari.
Difahamkan, seramai 21 mangsa disahkan maut dalam kejadian terbabit setakat pukul 7.30 malam manakala baki 12 mangsa masih belum ditemui.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 94 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh ketika menjalani aktiviti perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor, hari ini. – KOSMO! ONLINE