fbpx

Lapan mangsa penipuan kerja di Dubai selamat tiba di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebelum ini, kisah penderitaan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Myanmar dan Laos berjaya dibongkarkan hingga mereka berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, Wisma Putra menerusi kenyataan akhbar tadi mengesahkan terdapat seramai lapan rakyat Malaysia dijadikan hamba buruh moden sekitar Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, nasib buruk kesemua mereka kini berakhir apabila berjaya diselamatkan oleh Kementerian Luar menerusi pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

“Mereka sudah selamat dibawa pulang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada pukul 8.10 pagi tadi.

“Konsulat Jeneral di Dubai telah mengambil tindakan yang segera bagi menyelamatkan mangsa sejurus menerima maklumat berhubung kes tersebut,” kata Wisma Putra di sini hari ini.

Berdasarkan semakan, mangsa terlibat menaiki pesawat Oman Air penerbangan WY821 berlepas dari ibu kota Muscat pada pukul 9.15 malam tadi (2.15 pagi waktu Malaysia).

Kesemuanya kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang telah sedia menunggu mereka di KLIA bagi membantu proses siasatan selanjutnya kes berkenaan.

Wisma Putra menambah, pihak kementerian turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan UAE atas bantuan dan kerjasama diberikan dalam mempercepatkan proses penghantaran pulang.

“Penghargaan sama turut disampaikan kepada kerajaan negeri Sarawak dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof atas keprihatinan yang diberikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI