PETALING JAYA- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.
Istana Negara melalui satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku itu dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Seri Paduka Baginda berdua juga turut mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang,” jelas kenyataan tersebut hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, Baginda berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat semoga mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera. – KOSMO! ONLINE