TANAH MERAH – Seorang ibu kepada tiga anak tidak sempat berjoli hasil jualan barangan kemas berjumlah RM21,900 selepas mencuri beg tangan milik seorang peniaga pasar awam Tanah Merah di sini pada Selasa lalu.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan di rumahnya di Salor, Kota Bharu dekat sini apabila mangsa membuat laporan polis selepas memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pasar tersebut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, mangsa yang juga berusia dalam lingkungan 40-an menyedari beg tangannya hilang ketika berkemas-kemas untuk menutup kedai runcit di pasar tersebut.
Menurutnya, mengesyaki beg tangannya berisi tiga utas rantai leher, dua utas gelang tangan dan wang tunai RM1,500 dicuri, dia terus memeriksa CCTV pasar itu.
“Pemeriksaan mendapati, suspek telah mencuri dan membawa keluar beg tangan tersebut dari premisnya sebelum menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.
“Berdasarkan rakaman CCTV itu, polis telah menjejak kereta tersebut yang didaftarkan di alamat rumah suspek keesokan harinya kira-kira pukul 8 malam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini.
Menurut Mohd. Haki, semasa serbuan dijalankan, polis merampas dua beg tangan, wang tunai berjumlah RM21,900, dua keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan MyKad milik mangsa.
Katanya, siasatan mendapati, wang tunai RM21,900 itu merupakan hasil jualan kesemua barangan kemas yang dicuri suspek.
“Suspek dipercayai menjual barangan kemas itu di sebuah kedai emas di Kota Bharu, namun tidak sempat menggunakan langsung wang tersebut untuk perbelanjaannya.
“Siasatan mendapati, suspek merupakan seorang suri rumah dan pertama kali mencuri atas faktor desakan hidup. Dia juga dipercayai melakukan jenayah itu seorang diri tanpa melibatkan pihak lain,” katanya.
Tambah Mohd. Haki, wanita itu ditahan reman selama empat hari bermula 15 hingga 18 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE