DOHA – Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengambil pendekatan kunci mulut sama ada akan membuat panggilan ‘talian hayat’ dengan memanggil semula penyerang utama, Karim Benzema pada aksi final Piala Dunia 2022 malam esok.
Sebagai rekod, Benzema tidak beraksi langsung pada kempen Piala Dunia kali ini selepas mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan bulan lalu sehingga terpaksa diketepikan.
Namun, skuad Les Blues tidak memanggil sebarang pemain gantian untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Benzema dan cukup berpuas hati dengan senarai 25 pemain sedia ada.
Kini, spekulasi bertiup kencang pemenang Ballon d’Or 2022 itu akan menyertai skuad utama, sekali gus menguatkan pasukan untuk mengharungi aksi final bertemu Argentina esok.
Deschamps yang berjaya membantu Perancis menjulang trofi Piala Dunia bagi edisi Russia 2018 enggan mengulas persoalan tersebut sebaliknya masih mahu berteka-teki dengan peminat sukan antarabangsa.
“Saya tidak mahu menjawab pertanyaan tersebut (mengenai kemungkinan Benzema akan kembali). Saya minta maaf, anda boleh tanya soalan yang lain,” katanya.
Ketiadaan Benzema sedikit pun tidak menjejaskan momentum Perancis dengan jentera serangan yang dikemudi Olivier Giroud dan Kylian Mbappe cukup berbisa di Qatar kali ini.
Sementara itu, Benzema yang cergas daripada sebarang kecederaan sudah mula menjalani latihan bersama skuad utama Real Madrid awal minggu ini.
Difahamkan, pihak pengurusan The Galacticos tidak mempunyai masalah sekiranya Benzema pergi ke Qatar untuk membantu pasukan kebangsaan pada aksi final di Stadium Lusail nanti.
Perancis kini dalam usaha mencipta sejarah tersendiri untuk menjadi negara pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia dalam tempoh 60 tahun. – AGENSI