PETALING JAYA – Perancangan skuad Harimau Malaya sedikit terjejas selepas ketiadaan tonggak pertahanan berpengaruh yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools selepas disisihkan daripada senarai akhir 23 pemain kerana ada urusan peribadi.
Berdasarkan senarai akhir yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, antara pemain yang dibawa ke kejohanan bola sepak berprestij Asia Tenggara itu adalah dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dam Sergio Aguero.
“Lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir iaitu penjaga gol, Azri Ab Ghani; Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan serta Dion Cools (urusan peribadi),” kata FAM.
Skuad negara kendalian Kim Pan-gon akan berlepas ke Yangon, Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu depan.
Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Disember sebelum terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh (27 Disember).
Selepas itu, anak buah Pan Gon akan kembali beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Januari ini.
Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023. – KOSMO! ONLINE
SENARAI PENUH 23 PEMAIN KE PIALA AFF 2022
PENJAGA GOL
Rahadiazli Rahalim
Ahmad Syihan Hazmi
Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi
PERTAHANAN
Sharul Nazeem Zulpakar
Quentin Cheng
Fazly Mazlan
Dominic Tan
V. Ruventhiren
Khuzaimi Piee
Azam Azmi Murad
TENGAH
Brendan Gan
Mukhairi Ajmal Mahadi
Aliff Haiqal Lau
Nor Hakim Hassan
Stuart Wilkin
David Rowley
Nur Shamie Iszuan Amin
Lee Tuck
PENYERANG
Safawi Rasid
Faisal Halim
Haqimi Azim Rosli
Sergio Aguero
Darren Lok