HULU SELANGOR – Dua mayat mangsa ke-17 dan 18 kes tanah runtuh di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor, ditemui dalam keadaan berpelukan dipercayai ibu dan anak di Sektor C (Riverside) sekitar pukul 4.40 petang tadi.
Mangsa ditemui berpelukan melibatkan seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia lingkungan tiga tahun.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui berada di antara sektor A atau B semasa kejadian berlaku, namun dibawa arus tanah ketika kejadian.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan baki keseluruhan mangsa yang sedang dikesan adalah seramai 15 orang.
“Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam hari.
“Bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE