fbpx

‘Kawasan Parlimen Menteri Pertanian pun rak telur kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TINJAUAN mendapati rak telur ayam kosong di kedai runcit sekitar Jalan Kota Raja, Klang kelmarin.

KLANG – Kekurangan bekalan sehingga menyebabkan harga sebiji telur ayam dijual tinggi turut berlaku di kawasan Parlimen Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu iaitu di Parlimen Kota Raja.

Tinjauan di beberapa buah kedai runcit mendapati, terdapat peniaga telah sebulan tidak menerima bekalan telur dengan kenaikan sebiji telur adalah 55 sen.

Seorang pekerja kedai yang dikenali sebagai Rahayu, 43, berkata, krisis kurang bekalan telur telah berlaku sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu.

Katanya, kali terakhir kedai­nya menerima bekalan adalah dua minggu lalu sebanyak 30 papan atau 600 biji telur.

“Semua telur habis dalam kurang seminggu, malah pembekal juga didapati meningkatkan harga sepapan.

“Kedai ini terpaksa menaikkan harga, contohnya sebiji telur gred A adalah 55 sen berbanding 45 sen yang ditetapkan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Seorang lagi peniaga dikenali Hassan, 37, berkata, pembekal tidak memberi maklum balas berhubung kekurangan bekalan telur ini.

“Saya sudah lebih sebulan tidak mendapat bekalan telur dan ini amat memeningkan kepala.

“Ramai pelanggan bising apabila tiada satu kedai pun di kawasan ini mempunyai telur,” katanya.

Sebelum ini, Mohamad dipetik berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa sumber dari luar sebagai menampung keperluan bekalan telur dalam negara dengan kadar segera.

Jelas Mohamad, inisiatif membawa masuk telur ayam dari luar bukan untuk menekan pengusaha tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI