DOHA – Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menggesa anak-anak buahnya supaya melupakan kekalahan pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 kerana masih ada tugas belum selesai.
Naib juara Piala Dunia 2018 itu akan membuat perhitungan dengan Maghribi pada aksi penentuan tempat ketiga yang dijadualkan berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa malam ini.
Memandangkan sebahagian besar pemain Croatia tidak akan beraksi pada saingan Piala Dunia akan datang, Dalic berharap mereka boleh membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa bagi menebus kekecewaan.
Beliau menganggap pasukan kali ini sebagai skuad emas selepas berjaya mara ke separuh akhir dua kali berturut-turut biarpun pada awalnya langsung tidak diletakkan harapan.
“Saya sudah bercakap dan beritahu semua pemain supaya tidak mudah mengalah, sebaliknya bersedia selain berbangga kerana mereka berjaya sampai ke tahap ini. Kami mesti berjuang untuk tempat ketiga.
“Saya tidak pernah salahkan pemain-pemain. Mereka diberikan ucapan tahniah atas apa yang dilakukan pada Piala Dunia kali ini. Sekarang kami perlu dapatkan semula fokus dan bawa pulang pingat gangsa,” katanya.
Walaupun yakin mereka ada peluang cerah untuk dimahkotakan sebagai pasukan ketiga terbaik, namun kemampuan Maghribi tidak boleh dinafikan, lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan itu mencatat keputusan seri tanpa jaringan di peringkat kumpulan.
Sementara itu, pemain tengah Croatia, Lovro Majer mengakui, mereka hanya meletakkan sasaran untuk melangkah ke separuh akhir sebelum tiba di Qatar, namun sasaran itu berubah kepada juara pada pusingan kalah mati.
“Secara realistik, kami hanya mahu ke separuh akhir kerana keyakinan agak kurang ketika itu. Bagaimanapun, kami mula membayangkan gelaran juara sebaik sahaja aksi peringkat kumpulan tamat.
“Hajat tersebut tidak kesampaian tetapi kami akur dan sudah melupakannya. Sekarang kami ada tugas baharu bagi memastikan pasukan merangkul pingat gangsa ketika bertemu Maghribi nanti,” ujarnya. – AGENSI