UDANG galah atau lebih dikenali dengan gelaran si sepit biru merupakan antara hidupan air tawar yang kerap menjadi buruan kaki pancing.
Tidak kira sama ada menggunakan bubu atau batang joran, memburu udang galah memberi keseronokan berbeza kepada pemancing berbanding memburu ikan.
Perkara itu diakui sendiri oleh seorang kaki pancing tegar, Shahmi Abid Zulkarnain, 28, yang kerap memancing si sepit biru di beberapa lokasi sekitar Pahang.
Dia yang mula menjadi pemancing tegar sejak lima tahun lalu berkata, selain kerap turun ke sungai dan tasik memburu pelbagai spesies ikan, udang galah merupakan antara hidupan air tawar dicarinya.
“Biasanya, saya kerap ke sungai dan tasik untuk memancing ikan, khususnya toman. Ikan ini menguji tahap adrenalin saya terutama selepas umpan disambar ‘mangsa’.
“Memancing udang galah mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
“Biarpun tidak mempunyai daya lawan sehebat toman, tetapi ia memerlukan teknik berbeza untuk menawannya sehingga naik ke darat atau bot.
“Jika tersalah langkah, kita akan berputih mata. Ini kerana, mata kail yang tersangkut pada mulut udang galah amat mudah terlucut sekiranya kita rentap terlalu kuat,” katanya.
Bercerita mengenai hobi memancing udang galah, Shahmi Abid memberitahu, dia kerap memburu si sepit biru di beberapa batang sungai sekitar Bukit Rangin dan Sungai Isap (Kuantan), selain di daerah Pekan.
Katanya, dia juga akan ke beberapa sungai di sekitar daerah Jerantut dan Chenor bersama rakan-rakannya jika musim udang galah ‘menggila’ di kawasan berkenaan.
Menurutnya lagi, dia akan menyewa bot gentian kaca dan kadangkala memancing dari kawasan darat di tebing sungai sama ada secara bersendirian atau bersama rakan-rakan.
“Untuk memancing udang galah ini, ada beberapa cara yang digunakan oleh pemancing untuk melihat keadaan sungai sama ada sesuai atau tidak.
“Kebiasaannya, saya akan memburu udang galah pada waktu malam sekiranya air sungai agak jernih.
“Kalau memancing pada waktu siang pula, saya akan mencari kawasan yang lebih dalam. Ini kerana, lokasi seperti itu biasanya menjadi lubuk udang galah.
“Namun, sekiranya air sungai agak keruh, saya lebih gemar memancing di kawasan tebing sahaja.
“Biasanya, udang galah lebih gemar berada di kawasan tebing sungai,” jelasnya.
Mengulas mengenai umpan digunakan, Shahmi Abid memberitahu, dia biasanya menggunakan udang beras, cacing, umpun-umpun dan perut ayam.
Ujarnya, semua jenis umpan tersebut akan dipadankan dengan mata kail bersaiz dua dengan diikat pada batu ladung bersaiz lima.
Katanya lagi, disebabkan udang galah bukanlah spesies yang meragut umpan secara rentap, dia hanya menggunakan tali bersaiz 10 paun.
“Tali bersaiz kecil akan memudahkan pemancing untuk mengesan sama ada umpan sudah dimakan atau tidak.
“Sekiranya umpan yang dipasang diragut udang bersaiz besar, saya perlu lebih berhati-hati menariknya. Jika tersalah langkah, udang boleh terlepas.
“Di sinilah kemahiran kaki pancing teruji kerana seseorang itu perlu mahir menangani daya lawan udang galah yang pelbagai,” ujarnya.
Dia memaklumkan, udang galah terbesar yang pernah diperolehnya adalah seberat kira-kira 300 gram ketika memancing di Jerantut.
Menurut Shahmi Abid, dia mampu meraih hasil melebihi dua kilogram untuk satu trip memancing. Tambahnya, udang galah yang diperoleh akan dibawa pulang untuk dijadikan hidangan.