fbpx

100,000 jururawat Britain lancar piket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG piket jururawat melaungkan slogan di luar Hospital St Mary, barat London kelmarin. -- AFP

LONDON – Jururawat Britain mengadakan piket selama satu hari kelmarin untuk memperjuangkan kenaikan gaji dan persekitaran kerja lebih baik di sebalik  amaran bahawa tindakan mereka merisikokan pesakit.

Sehingga 100,000 anggota Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di England, Wales dan Ireland Utara berhenti bertugas dari pukul 4 petang hingga 4 pagi (waktu Malaysia) selepas menolak tawaran kenaikan gaji oleh kerajaan.

Tindakan industri pertama RCN dalam tempoh 106 tahun itu merupakan sebahagian daripada gelombang mogok kakitangan awam dan swasta di seluruh Britain selepas paras inflasi melonjak lebih tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi.

Di luar Hospital St Thomas, tengah London, kumpulan jururawat berpiket sambil melaungkan slogan dan memegang sepanduk yang  tertera perkataan bermaksud ‘bayar nilai sebenar kami’ dan ‘kini masa untuk membayar jururawat secara adil’.

Mereka disertai oleh Ketua Pegawai Jururawat England, Ruth May, demikian menurut akhbar The Times.

“Kumpulan ini (jururawat) tidak mahu berada di luar (berpiket), mereka sebenarnya mahu berada di dalam sana (bertugas).

“Namun, kami tiada pilihan. Sekiranya kami hanya duduk di dalam sana dan menerima sahaja keadaan, hospital tidak akan wujud lagi,” kata jururawat psikiatrik, Geoff Brennan kepada agensi berita AFP.

Jururawat Rebecca Cosgrave berkata, nilai gaji jururawat mengecil sejak dekad lalu, memaksa sebilangan mereka mengemis makanan daripada bank makanan.

Ketua-ketua kesatuan sekerja berkata, jururawat-jururawat bekerja terlalu teruk kerana kekurangan staf ketika Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) atau hospital awam bergelut dengan masalah  tunggakan temu janji dan rawatan yang diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19. 

Setiausaha Agung RCN, Pat Cullen memberitahu, ia adalah hari tragis untuk jururawat, pesakit dan NHS oleh kerana mereka terpaksa mengambil tindakan piket.

Katanya, kini terdapat 50,000 jawatan kosong jururawat, manakala lebih banyak perlu dilakukan untuk mengelak kakitangan daripada berhenti dan mencari pekerjaan dengan gaji lebih lumayan di sektor pasar raya serta peruncitan.

“Semua ini bergantung kepada kerajaan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menangani masalah kekosongan jawatan dan mencegah tenaga kerja keluar daripada profesion kami.

“Mereka perlu berbuat demikian dengan membayar gaji setimpal,” kata Cullen.

RCN mahu kenaikan gaji lebih tinggi daripada paras inflasi yang melonjak kepada 11.1 peratus Oktober lalu sekali gus tertinggi dalam tempoh 41 tahun sebelum susut sedikit kepada 10.7 peratus bulan lepas.

Kenaikan sedemikian, kata Cullen, akan menyelesaikan masalah nilai gaji jururawat yang susut 20 peratus sejak dekad lalu.

Kerajaan bagaimanapun tidak mampu memenuhi permintaan tersebut dengan Setiausaha Kesihatan, Steve Barclay menyifatkan mogok itu sebagai ‘amat dikesali.’

Barclay menegaskan bahawa beliau terbuka untuk berdialog tentang isu lebih meluas tetapi bukan tawaran gaji yang diberikan oleh kerajaan. Tawaran oleh kerajaan itu, katanya, dicadangkan oleh sebuah badan penilaian bebas.

“Lembaga Semakan Gaji NHS menyarankan kenaikan gaji sekurang-kurangnya  £1,400 (RM7,549) selain kenaikan tahunan 3 peratus.

“Kenaikan lebih tinggi bermakna kita mengambil wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar perkhidmatan barisan hadapan ketika kita terpaksa menangani senarai menunggu yang terlalu banyak disebabkan oleh pandemik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan, Maria Caulfield berkata, kira-kira 70,000 janji temu, prosedur dan pembedahan di England tidak dapat dilaksanakan berikutan mogok tersebut dengan ribuan prosedur di tempat-tempat lain menerima nasib serupa. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI