fbpx

P. Pinang mula arah pantau tapak perkhemahan komersil, glamping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEOH Soon Hin (tengah) ketika sidang akhbar di Komtar, George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau tapak-tapak perkhemahan komersil dan ‘glamping’ di negeri ini bagi mengelak berlaku sebarang insiden tidak diingini di kawasan berkenaan.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pada masa ini pihaknya tidak mempunyai jumlah sebenar tapak perkhemahan komersil dan glamping di negeri ini memandangkan industri tersebut masih baharu.

”Insiden tanah runtuh di Batang Kali telah menyedarkan kita dan pihak kami akan mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkuasa yang lain untuk menjalankan pemantauan di tapak perkhemahan dan tapak glamping.

”Kami juga meminta pemilik tapak perkhemahan dan tapak glamping di negeri ini untuk sentiasa memastikan keselamatan pengunjung di kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Terdahulu, Soon Hin memaklumkan perarakan Chingay, tarian singa dan naga secara fizikal alan kembali secara fizikal di Pulau Pinang pada 1 Januari 2023.

Perarakan itu akan bermula pada pukul 7 malam dari Jalan Johor hingga ke Lebuh Light dan akan tiba di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pukul 9 malam.

Dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor, sehingga pukul 1.48 petang, seramai 16 termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan itu.

Menurut Soon Hin, pihaknya juga akan mengkaji semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan tapak glamping memandangkan konsep percutian sedemikian masih baharu.

”Kita akan arahkan pihak berkaitan untuk kaji dan semak semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan tapak glamping di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Soon Hin juga menyeru semua pemilik tapak perkhemahan dan glamping untuk mendapatkan lesen masing-masing daripada PBT.

”Sepatutnya sesuatu pembangunan di mana-mana kawasan termasuk tapak perkhemahan dan tapak glamping perlu mendapat kelulusan daripada PBT,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI