fbpx

Ronaldo menangis dituduh merompak di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (baju-t hijau) bersama enam tertuduh warga Filipina ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen George Town, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang daripada tujuh warga Filipina yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan merompak secara berkumpulan bulan lalu tidak dapat menahan kesedihan dan menangis sepanjang prosiding dijalankan.

Tertuduh, Ronaldo Dugasan, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Mohammad Khalid Ab Karim.

Turut membuat pengakuan sama ialah Jemar Yulo, 37, Noel Guiral, 50, Danny Sumalinog, 53, Hector Jude, 37, Ramil Cabalo, 52 dan Rosalito Redublado, 42.

“Saya bukan perompak, penyeluk saku sahaja. Saya tiada keluarga atau saudara-mara di sini.

“Keluarga tidak tahu saya ditangkap. Kes (pendakwaan) bukan di sini sahaja, ada lagi di Kuala Lumpur dan Melaka,” katanya sambil tersedu-sedu ketika berdiri di kandang tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Mohammad Khalid menasihati tertuduh agar memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya menerusi pihak kedutaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang dikatakan memasuki ke negara ini menggunakan visa pelancong itu didakwa bersama tujuh orang dan seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh membabitkan wang tunai RM14,800 di daerah Timur Laut kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 13 November lalu .

Hakim Mohammad Khalid kemudiannya memerintahkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 bersama dua penjamin rakyat tempatan.

Pendakwaan tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan 30 Januari depan sebagai sebutan semula kes tersebut.

Kosmo! pada 23 November lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan sindiket samun melibatkan warga asing yang menyamar sebagai pegawai polis selepas menahan sembilan suspek di Jalan Penang, di sini 15 November lalu.

Suspek terdiri seorang lelaki tempatan bersama lapan warga Filipina termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Hasil penahanan suspek, polis juga percaya dapat menyelesaikan 10 kes samun melibatkan warga asing iaitu masing-masing tujuh di negeri ini, dua kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Melaka dengan melibatkan kerugian sebanyak RM42,600. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI