HULU SELANGOR – Seramai 16 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, awal pagi tadi.
Menerusi ciapan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), setakat pukul 1 tengah hari tadi, dianggarkan seramai 94 mangsa terbabit dalam tragedi itu.
“Seramai 61 mangsa selamat, 16 disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), dan 17 lagi masih hilang,” ciapnya hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.24 pagi.
Beliau berkata, ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (kira-kira 1.2 hektar). – KOSMO! ONLINE