fbpx

Bukan sombong, Ryan Bakery ‘trauma’ ditipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DISEBABKAN pernah ditipu, Ryan Bakery mengakui dia sukar menjawab mana-mana panggilan telefon daripada sesiapa sehingga keadaan itu menyebabkan timbul dakwaan dia bersikap sombong.

PETALING JAYA – Nasib tidak menyebelahi pempengaruh dan juga selebriti, Ryan Bakery apabila ditipu sesetengah pihak yang menggunakan popularitinya untuk mempromosikan produk.

Keadaan tersebut menyebabkan Ryan, 27, enggan menjawab panggilan telefon sesuka hati daripada mana-mana pihak kerana tidak mudah mempercayai orang sekeliling.

Situasi tersebut turut memberi kesan terhadap hubungannya bersama rakan media apabila dia sukar dihubungi untuk ditemu bual.

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada media yang kerap menelefon tetapi saya tidak menjawab. Saya tidak boleh mengendali perkara tersebut kerana sering ditipu.

“Saya mencari rezeki tetapi senang-senang sahaja ditipu mengenai duit dan disebabkan itu saya susah nak percaya orang,” ujar pemilik nama sebenar Muhammad Ryan Fahmi Bakery.

Berkongsi lanjut, pempengaruh yang terkenal dalam TikTok itu mendedahkan secara kasar kos kerugian selepas mempromosikan beberapa produk yang dilakukan pada tahun ini.

“Kes penipuan yang berlaku pada tahun ini dianggarkan sekitar ratus ribu selepas menghasilkan iklan tanpa dibayar.

“Jumlah kandungan yang telah dihasilkan adalah sebanyak lima dan bilangan tontonan juga ramai pada ketika itu,” jelasnya.

Enggan memperbesarkan isu, Ryan bagaimanapun memilih untuk tidak mengambil tindakan lanjut mengenai kes penipuan tersebut.

“Kini saya lega mempunyai pengurus yang mampu mengingatkan saya dengan perkara yang sudah terlepas pandang.

“Saya halalkan segalanya kerana malas untuk panjangkan cerita,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar program Gempak Most Wanted Awards 2022 baru-baru ini.

Terdahulu, Ryan berasa tersinggung dituduh sombong selepas melebarkan sayap dalam bidang lakonan.

Semuanya berlaku gara-gara dia sukar dihubungi media yang ingin menemubualnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI