RANAU – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya melakar sejarah tersendiri dan tercatat dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi kejayaan kibaran logo korporat terbesar di Gunung Kinabalu semalam.
Kejayaan bersejarah itu dilakukan oleh seramai 30 peserta terdiri daripada kalangan ahli majlis, pengarah dan warga kerja MPAJ menerusi Ekspedisi T30 Puncak Gunung Kinabalu.
Jurucakap projek Ekspedisi T30 Puncak Gunung Kinabalu, Mohamad Fareez Normanshah berkata, ekapedisi yang bermula sejak 13 Disember lalu itu adalah bersempena sambutan ulang tahun penubuhan MPAJ yang ke-30 pada tahun ini.
“Ekspedisi ini adalah untuk mengibarkan logo korporat MPAJ dengan saiz 17.8 meter tinggi dan 12.8 meter lebar.
“Sekitar pukul 8 pagi, misi ini berjaya dilakukan oleh 30 peserta yang terlibat, sekali gus tercatat dalam MBOR sebagai logo korporat terbesar yang dikibarkan di Gunung Kinabalu,” katanya.
Turut serta dalam ekspedisi ini adalah Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai yang telah menyerahkan sijil rekod baharu kepada MPAJ.
Ekspedisi mendaki gunung setinggi 4,095 meter ini diketuai En. Khairilazhar Ismail selaku Pengarah Jab. Belia, Masyarakat & Landskap MPAJ.
Ia merupakan kerjasama strategik bersama Kelab Sukan Kebajikan dan Kebudayaan (KESUKE) MPAJ, Persatuan Kembara Negara, MBOR dan Taman Sabah.