fbpx

Bekalan telur dari India tiba hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengesahkan bekalan telur ayam yang diimport dari India tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

MAFS menerusi kenyataan akhbar berkata, bekalan telur import itu adalah bagi menampung kekurangan bekalan yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, kementerian telah membenarkan kemasukan telur ayam dari India pada hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

“MAFS melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara,” katanya.

Katanya, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi.

Jelasnya lagi, hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

Sehubungan itu, katanya, MAFS juga bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan.

“Sebaliknya ia bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI