Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di bahagian dapur rumahnya selepas cuba menyelamatkan tiga ekor anjing peliharaan dalam kebakaran di Kampung Limbongan di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun yang tinggal berseorangan dikatakan telah keluar dari rumahnya untuk menyelamatkan diri, namun kemudian tiba-tiba berpatah balik.
Menurut jirannya, Nor Lenny Mohd. Sani, 44, dia terdengar bunyi seperti letupan pada pukul 6.45 pagi ketika sedang menguruskan anaknya untuk ke sekolah.
“Saya kemudian terus keluar rumah dan nampak api telah marak sebelum menjerit memanggil ‘uncle’ (mangsa) beberapa kali.
“Saya nampak ‘uncle’ keluar rumah tetapi dia dalam keadaan panik berlari semula ke bahagian belakang rumah, saya rasa dia cuba selamatkan anjing peliharaannya,” katanya ketika ditemui di lokasi, sebentar tadi.
Tambahnya, dia yang turut cemas terus mendapatkan anaknya keluar dari rumah, manakala suaminya cuba membantu memadamkan kebakaran namun api merebak dengan cepat ke bahagian lain rumah tersebut.
“Selepas itu saya dan suami tidak nampak ‘uncle’ di mana. Tidak lama kemudian bomba pula sampai,” katanya sambil memberitahu seekor anjing mangsa bagaimanapun dilihat sempat berlari keluar dari rumah tersebut.
Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Pegawai Kanan Bomba II Mohd. Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.47 pagi.
Katanya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu bersama-sama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian, kita dapati sebuah rumah berkeluasan 30×50 kaki telah terbakar 100 peratus dan pemadaman di lakukan.
“Kerja-kerja pemadaman di bahagian dapur bagaimanapun menemukan satu mayat lelaki manakala di bahagian hadapan rumah pula kita menjumpai dua bangkai anjing dipercayai dipelihara mangsa,” katanya.-K! ONLINE