PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan terlibat.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau turut menasihatkan mana-mana menteri yang melawat kawasan tersebut agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.
“Dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.
“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat.
“Saya telah mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Jelasnya, beliau juga dimaklumkan menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini.
“Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat.
“Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE