PETALING JAYA – Bintang utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) yang dilangsungkan secara virtual, sebentar tadi.
Lebih menarik, pemain berusia 20 tahun itu menyamai rekod rakan sepasukan, Safawi Rasid (juara MVP 2018 dan 2019) untuk menang buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada edisi 2021.
Arif yang meledak 8 gol disusuli 16 bantuan jaringan dalam 31 perlawanan musim ini menerima Anugerah MVP selepas diumumkan oleh Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Kejayaan Arif yang turut menang anugerah Pemain Muda Terbaik seperti sudah dijangka selepas berjaya membantu JDT ‘sapu bersih’ trofi Liga Malaysia tahun ini dengan menjulang Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi calon dari Selangor FC iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi dan Azam Azmi Murad (Terengganu FC).
“Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP buat tahun kedua berturut-turut
“Terima kasih saya ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana memberi kepercayaan kepada pemain muda seperti saya dan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan.
“Ucapan penghargaan juga diucapkan kepada keluarga dan penyokong setia JDT,” katanya secara ringkas sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE
SENARAI PENUH PEMENANG UTAMA ABK22
PEMAIN PALING BERNILAI
Arif Aiman Hanapi (JDT)
PASUKAN TERBAIK
JDT
GOL TERBAIK
Mukhairi Ajmal (Selangor FC)
JURULATIH TERBAIK
Nafuzi Zain (TFC)
PENYERANG TERBAIK
Arif Aiman Hanapi (JDT)
PEMAIN IMPORT TERBAIK
Bergson Da Silva (JDT)
PEMAIN MUDA TERBAIK
Arif Aiman Hanapi (JDT)
PEMAIN TENGAH TERBAIK
Afiq Fazail (JDT)
PERTAHANAN TERBAIK
Shahrul Saad (JDT)
PENJAGA GOL TERBAIK
Ahmad Syihan Hazmi