TUARAN – Seorang lelaki rentung apabila kereta Perodua Bezza dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kampung Tambalugu petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Mohd Fairuz Jasni, 38, ditemui rentung selepas keretanya dipercayai bertembung dengan sebuah Perodua Myvi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.48 petang.
“Seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai bertembung dengan Perodua Bezza hingga menyebabkan kereta Perodua Bezza terbakar sepenuhnya.
“Terdapat seorang mangsa dilaporkan rentung di dalam kereta Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba pada pukul 7.21 malam ini sebaik api berjaya dipadamkan.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dua mangsa yang berada di kereta Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.25 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE