PETALING JAYA – Makruh hukumnya jika sengaja memejamkan mata ketika mendirikan solat, jelas Ustaz Azhar Idrus.
Namun begitu, penceramah selebriti itu berkata, sekiranya kita mudah terbayang serta hilang fokus atau lalai ketika sedang solat maka hukumnya menjadi harus.
“Sekiranya kita saja-saja pejam mata setiap kali solat maka hukumnya makruh, kalau solat sahaja pejam mata itu tidak boleh.
“Tetapi kalau kita tidak pejam mata ketika solat datang macam-macam gambaran serta hilang fokus maka diharuskan untuk memejamkan mata,” ujarnya melalui satu sesi ceramahnya baru-baru ini.
Tambah Azhar lagi, kita sebenarnya disunatkan untuk membuka mata dan melihat ke arah tempat sujud dan melihat jari telunjuk ketika bertahiyat awal dan akhir.
“Kita disunatkan untuk melihat di tempat sujud, tapi kalau kita lihat tempat sujud tu ada gambar Kaabah atau gambar Madinah dan hilang fokus maka eloknya pejamkan mata itu.
“Kalau kita pejam mata, solat kita bertambah baik dan tidak mengganggu iaitu tidak hilang fokus dimaafkan untuk pejam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.