SEBERANG PERAI – Bakal pengantin yang dilaporkan melecur hampir seluruh badan selepas terkena letupan tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena di sini kelmarin akan menjalani pembedahan esok.
Adik mangsa, Muhammad Azib Muhamad, 25, berkata, kakaknya, Siti Hajar Hanis Muhamad, 26, telah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) kira-kira 7 petang semalam.
Menurutnya, prosedur yang bakal dijalankan bertujuan membuang kulit kakaknya, yang 70 peratus melecur susulan insiden terbabit.
“Doktor memaklumkan bahawa kulit yang masih elok akan ditampal di tempat yang melecur dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Ini ekoran kulit yang elok hanya ada dalam 30 peratus sahaja dan proses membuang kulit yang mati juga rumit dan perlu dilakukan dengan teliti.
“Kakak akan ditidurkan sepanjang prosedur terbabit yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga lima bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 8 pagi itu berlaku semasa mangsa mahu menggoreng ikan sebelum gas memasak tersebut tiba-tiba meletup sehingga memusnahkan rumah teres dua tingkat berkenaan. – KOSMO! ONLINE