MADRID – Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez mengakui dia belum berada pada tahap terbaik meskipun sudah pulih sepenuhnya daripada pembedahan tangan kanan yang dilakukan Jun lalu.
Walaupun kembali ke litar perlumbaan pada September lalu, namun juara dunia enam kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu belum benar-benar selesa untuk menggunakan tangan kanannya.
Marquez menjelaskan, dia juga masih keliru sama ada tangannya itu mampu berfungsi seperti biasa memandangkan dia masih berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri selepas pembedahan keempat tersebut.
“Apa yang penting sekarang adalah saya tidak tahu sama ada tangan kanan saya sudah pulih 100 peratus atau tidak. Saya juga tahu ia tidak mungkin kembali normal seperti tangan kiri.
“Saya sudah menjalani empat pembedahan di tangan kanan, jadi ia tidak akan berfungsi seperti biasa. Bagaimanapun, pada cuti musim sejuk ini, saya mahu tahu apakah kemampuan maksimumnya (tangan kanan),” katanya.
Meskipun kecewa kerana masih belum serasi dengan keadaan tangan kanannya, namun dia sudah melakukan yang terbaik untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Keadaan sebelum ini tidak bagus tetapi sekarang ia lebih teruk. Mungkin saya perlu tunggu lebih lama untuk faham mengenai tahap kemampuan tangan. Bagaimanapun, saya percaya ia sudah bertambah baik dari hari ke hari,” ujar Marquez. – AGENSI