fbpx

Eslite Spectrum Kuala Lumpur tarikan baharu pengunjung, peminat buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana kedai buku di Eslite Spectrum Kuala Lumpur di The Starhill, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. - Foto SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Kedai buku mega Taiwan, Eslite Spectrum Kuala Lumpur yang bakal dibuka sepenuhnya Sabtu ini di The Starhill, Bukit Bintang di sini, menjadi satu lagi tarikan baharu pengunjung bukan hanya kepada peminat buku.

Tidak hanya memfokuskan jualan buku semata-mata, Eslite Spectrum Kuala Lumpur turut menampilkan pelbagai jualan barangan gaya hidup seperti produk kecantikan dan penjagaan diri, rumah, hobi dan permainan serta gajet di samping fesyen, makanan dan minuman.

Pengerusi Eslite Spectrum Corporation, Mercy Wu berkata, Eslite Spectrum yang diasaskan oleh bapanya pada 1989 menampilkan kedai buku digabungkan pelbagai elemen seperti seni dan kraf, tempat pameran dan forum selain kafe menyajikan makanan dan minuman.

“Bapa saya berpesan, kita tidak hanya membuka kedai buku semata-mata, tetapi ia perlu diperluaskan dengan meletakkan pelbagai elemen berbeza. Jadi inilah model perniagaan kami apabila terdapatnya (jualan kedai) antaranya fesyen pakaian, makanan dan minuman selain kraf ditampilkan oleh Eslite Spectrum.

“Selain itu, Kuala Lumpur juga merupakan cawangan pertama Eslite Spectrum di Asia Tenggara selepas ia mendapat sambutan di Taipei, Taiwan; Hong Kong dan Suzhou, China, malah kita mempunyai cawangan di Tokyo, Jepun,” katanya pada majlis pratonton Eslite Spectrum Kuala Lumpur bersama media di sini hari ini.

Mercy pada majlis pratonton media sempena pembukaan Eslite Spectrum Kuala Lumpur di The Starhill, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. – FOTO/ SHIDDIEQIIN ZON

Ujarnya lagi, sempena pembukaan pada Sabtu ini, kedai-kedai jualan di Eslite Spectrum Kuala Lumpur akan beroperasi sehingga pukul 1 pagi.

Dalam pada itu, Mercy berkata, antara tarikan kedai-kedai di situ termasuk ribuan produk buatan Taiwan, kopi gourmet selain jualan kraf dan fesyen, malah lebih 30 acara seminar pengarang dan penulis tempatan serta persembahan muzik turut disediakan sempena pembukaannya.

Untuk acara pada Ahad ini, turut berlangsung perkongsian oleh angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha pada pukul 8 malam selain pelbagai lagi panel jemputan dari Taiwan dan Malaysia.

Pengunjung turut berpeluang menghayati 40 lukisan asli, tiga cetakan dan dua karya arca besar oleh Jimmy Liao dipamerkan di Eslite Spectrum Kuala Lumpur bermula sekarang sehingga Februari 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI