JOHOR BAHRU – Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai di sini ditutup lapan hari susulan seorang murid tahun tiga disahkan positif Covid-19 semalam.
Menurut notis rasmi arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Johor memaklumkan penutupan sekolah bermula 16 Oktober (hari ini) hingga 23 Oktober dipasang di pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Sesi sekolah akan dibuka semula pada 25 Oktober.
Tinjauan Kosmo! di luar pekarangan SK Taman Desa Skudai mendapati ibu bapa mula datang ke sekolah membawa anak-anak mereka seawal 8.30 pagi sebelum mereka diberikan taklimat dan ujian calitan dilakukan ke atas murid.
Difahamkan seramai 70 murid yang mempunyai kontak rapat dengan murid yang disahkan positif akan menjalani ujian calitan (swab test) Covid-19 hari ini.
Murid lelaki berusia sembilan tahun yang disahkan positif dipercayai dijangkiti virus itu selepas kediamannya dikunjungi saudara daripada Selangor pada 5 Oktober lalu sebelum salah seorang daripada saudara berkenaan disahkan positif tiga hari kemudian.
Keluarga murid berkenaan diarahkan menjalani kuarantin sendiri selama 12 hari di kediaman mereka bermula 8 Oktober, sebelum murid terbabit disahkan positif Covid-19.
Difahamkan, murid berkenaan akan menjalani proses kuarantin di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang sambil ditemani bapanya.
Sementara itu, usaha bagi menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang tidak berjaya dan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari memberitahu pihaknya tidak boleh memberi sebarang komen mengenai penutupan sekolah itu.
Difahamkan, kerja-kerja sanitasi ke atas sekolah berkenaan akan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri Johor pada petang ini.-K! ONLINE