fbpx

Waspada penyakit bawaan kulat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gejala penyakit jangkitan kulat tidak spesifik dan bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti. – GAMBAR HIASAN

KULAT boleh ditemui secara semula jadi di persekitaran kita.

Terdapat lebih dua juta spesies kulat, namun hanya kira-kira 600 kulat telah menyebabkan penyakit.

Jangkitan kulat invasif biasanya akan menyebabkan penyakit yang teruk dan agresif dengan kadar morbiditi serta kematian yang tinggi jika dibiarkan tanpa rawatan.

Jangkitan kulat yang invasif ini biasanya disebabkan oleh Aspergillus spp, namun ia juga boleh disebabkan oleh kulat lain yang jarang ditemui seperti Mucormycetes, yang menyebabkan penyakit seperti aspergillosis invasif dan mucormycosis.

Kulat ini menghasilkan spora yang kita temui setiap hari tanpa menyebabkan kita jatuh sakit, namun ia berbeza untuk mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Aspergillosis invasif ini jarang berlaku dan biasanya dijumpai dalam kalangan individu dengan sistem imun yang lemah.

Penyakit ini dianggarkan menjangkiti lebih 300,000 pesakit di seluruh dunia setiap tahun dan biasanya menjangkiti golongan yang memiliki sel stem dan telah menjalani pemindahan organ terutamanya pemindahan paru-paru, atau dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit hematologi yang serius seperti leukemia akut.

Mucormycosis juga jarang berlaku dan dianggarkan tercatat kira-kira 10,000 kes di seluruh dunia, jika India dikecualikan.

Jumlahnya meningkat ke 910,000 kes setiap tahun sekiranya statistik negara India disertakan.

Mucormycosis semakin kerap dilaporkan berlaku dalam kalangan pesakit kencing manis yang tidak terkawal, penghidap penyakit hematologi, pemindahan organ, dan penerima terapi kortikosteroid berdos tinggi.

Pun begitu, kesedaran penyakit jangkitan kulat invasif sering diabaikan dan dipandang remeh berbanding penyakit berjangkit yang lain.

Walaupun aspergillosis invasif dan mucormycosis jarang berlaku berbanding penyakit berjangkit yang lain, jangkitan kulat invasif ini amat mengancam nyawa dan mencatat kadar kematian yang tinggi.

Jika tidak dirawat dengan segera, kadar kematian boleh mencapai 100 peratus.

Diagnosis jangkitan kulat invasif sememangnya amat mencabar dan kelewatan diagnosis akan melambatkan pemberian rawatan yang optimum kepada pesakit yang dijangkiti kulat invasif ini.

Sejak kebelakangan ini, sebahagian negara di dunia telah melaporkan jangkitan aspergillosis invasif dan mucormycosis dalam kalangan pesakit Covid-19 yang menyebabkan peningkatan risiko kematian.

Peningkatan risiko kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 ini berkemungkinan berkait dengan sistem imun yang lebih lemah atau juga disebabkan oleh terapi tertentu untuk merawat Covid-19 seperti penggunaan steroid.

Dalam pada itu, risiko untuk dijangkiti penyakit kulat invasif ini bergantung kepada status kesihatan seseorang inidividu.

Faktor risiko yang menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit ini termasuk mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Ia sebagaimana diberitahu tadi, meliputi penghidap penyakit hematologi yang serius seperti leukemia akut, pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi atau penggunaan kortikosteroid dengan dos tinggi untuk rawatan penyakit tertentu, pesakit yang menerima pemindahan organ.Bagi jangkitan mucormycosis pula, salah satu faktor risiko utama ialah penyakit ketoasidosis.

Aspergillosis invasif biasanya akan menjejaskan paru-paru, namun ia juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Diagnosis jangkitan kulat invasif sememangnya amat mencabar dan kelewatan diagnosis melambatkan lagi pemberian rawatan yang optimum. – GAMBAR HIASAN

Mucormycosis pula biasanya dijumpai di bahagian sinus atau resdung (rongga, atau ruang udara, yang berhampiran saluran hidung) atau paru-paru tetapi ia juga boleh merebak ke bahagian otak dan organ lain.

Gejalanya tidak spesifik dan bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti, justeru meningkatkan cabaran diagnosis penyakit ini.

Pesakit dengan jangkitan kulat invasif di paru-paru mungkin menunjukkan gejala radang paru-paru yang tipikal seperti demam, sakit dada, batuk, batuk berdarah dan sesak nafas.

Jangkitan sinus pula boleh menyebabkan rasa sakit, lemah, bengkak dan sembab di sekeliling mata, pipi, hidung atau dahi, senget di sebelah muka, sakit kepala, hidung atau sinus tersumbat atau tompok dan kesan hitam pada batang hidung.

Jangkitan di otak pula boleh menyebabkan perubahan status mental pesakit atau koma peringkat akhir.

Pesakit jangkitan kulat invasif perlu menerima rawatan di hospital dan tempoh rawatan yang panjang akan meningkatkan kos rawatan. Peningkatan kos rawatan perubatan juga dikaitkan dengan keperluan diagnostik tambahan dan rawatan yang diperlukan.

Sememangnya adalah mustahil untuk mengelak daripada pendedahan spora kulat kerana kulat yang menyebabkan aspergillosis invasif dan mucormycosis wujud dalam persekitaran kita.

Bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah, langkah pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit yang boleh membawa maut ini.

Elakkan aktiviti yang melibatkan sentuhan dengan tanah dan habuk, seperti aktiviti di halaman rumah atau berkebun. Jika anda melakukan aktiviti di luar, sila pakai kasut, seluar panjang dan baju berlengan panjang.

Elakkan ke kawasan berdebu seperti tapak pembinaan atau kawasan penggalian dan pastikan rumah kurang lembab dan bebas kulat serta fungus.Selain itu, elakkan tinggal di rumah yang berkulat atau berada di sana semasa kerja pembersihan.

Pakai pelindung muka jenis N95 jika anda tidak boleh mengehadkan pendedahan di kawasan-kawasan tersebut. Doktor mungkin boleh memberi preskripsi ubat antikulat berdasarkan faktor risiko anda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI