fbpx

Dua sahabat dicekup pecah lapan kedai, pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Ridhwan menunjukkan peralatan dan barangan dirampas daripada dua suspek tersebut.

KUALA LANGAT – Kegiatan jenayah dua sahabat memecah masuk lapan kedai dan pejabat di sekitar Saujana Putra di sini, sejak tiga bulan lalu tumpas apabila mereka dicekup polis, kelmarin.

Kedua-dua lelaki tempatan berusia 32 dan 38 tahun itu ditahan berasingan di sekitar Pandamaran, Klang bermula pukul 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang guru tuisyen mengenai kes pecah pejabat di Bandar Tropicana Aman, Saujana Putra, 31 Oktober lalu.

Katanya, hasil maklumat dan risikan membawa kepada tangkapan dua suspek sehingga pukul 10.05 malam kelmarin.

“Kita turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, jam tangan, besi pembuka tayar yang diubah suai dan pemutar skru.

“Selain itu, sebuah kereta Perodua Bezza yang digunakan suspek ketika kejadian dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Menerusi tangkapan itu, kita berjaya menyelesaikan lapan kes yang melibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

“Mereka dipercayai melakukan jenayah berkenaan selama tiga bulan. Kedua-dua suspek direman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI