fbpx

Cikgu Samm kongsi rahsia borong barang dari China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIKGU SAMM berjaya memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan beg jute.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi impak amat besar kepada mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan termasuk Sammie Ho.

Wanita berusia 48 tahun yang mengusahakan perniagaan pembangunan produk (OEM) dari China itu terpaksa berhadapan dengan kerugian besar.

“Sebelum ini, saya membantu pelanggan-pelanggan membangunkan produk yang mereka mahukan dari China.

“Disebabkan pandemik Covid-19, jualan saya menurun secara mendadak iaitu daripada enam angka kepada empat angka,” katanya.

Tambahnya lagi, ada juga pelanggan yang terpaksa membatalkan pesanan dengannya disebabkan oleh pandemik tersebut.

Sammie yang juga dikenali sebagai Cikgu Samm menjelaskan, biarpun mengalami kerugian, namun dia terus bertahan dalam dunia perniagaan.

Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk beralih kepada bisnes online yang sebelum ini tidak pernah diceburinya.

“Saya pertama kali menggunakan medium online pada tahun 2020 dengan menjalankan perniagaan menjual beg jute yang tular ketika itu.

“Dalam masa tiga bulan, jualan saya kembali menjadi enam angka. Sejak itu, saya mula percaya dengan perniagaan secara online,” katanya.

Cikgu Samm turut memaklumkan, dia mempunyai pengalaman selama lebih 18 tahun memborong barangan dari China.

Dia merasakan pengalaman tersebut merupakan salah satu cara terbaik bagi membantu masyarakat di negara ini memulakan perniagaan.

Disebabkan itu, Cikgu Samm cukup aktif di media sosial dengan mengajar dan memberi tip kepada masyarakat tentang cara terbaik memborong barangan dari China.

Justeru, tidak hairanlah di laman TikTok, Cikgu Samm mempunyai hampir 200,000 pengikut.

Malah, dia aktif menganjurkan kursus secara percuma dan berbayar kepada mereka yang berminat untuk belajar memborong produk dari China dengan lebih mendalam.

Bukan hanya mengajar cara memborong dari China, malah Cikgu Samm turut berkongsi cara menjual produk tersebut di pasaran tempatan.

CIKGU SAMM tidak lokek berkongsi ilmu tentang cara memborong barangan dari China kepada para peserta kursus.

“Secara asasnya, peserta yang mengikuti kelas memborong dari China ini akan didedahkan dengan pemahaman tentang rangka kerja atau framework.

“Saya sedar kebanyakan mereka yang ingin memulakan perniagaan dengan memborong barangan dari China tidak memahami tentang rangka kerja.

“Ini merupakan salah satu faktor yang menyukarkan usahawan untuk berkembang di dalam dunia perniagaan,” katanya.

Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang usahawan sebelum melabur adalah membuat kajian terhadap produk ingin diborong dari China.

Ujarnya, mereka perlu mengenal pasti produk-produk yang viral dalam media sosial serta mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Selain teknik, Cikgu Samm juga mengajar tentang cara menggunakan platform online bagi memudahkan peserta memborong barangan dari China.

“Di China terdapat lebih daripada 20 platform yang boleh digunakan untuk memborong barangan.

“Namun, saya galakkan peserta untuk menggunakan dua platform ini iaitu 1688 dan Pinduoduo. Kedua-dua platform ini paling selamat,” terangnya.

Tambahnya, peserta turut didedahkan dengan proses membuat pembayaran secara online, pemilihan syarikat penghantaran yang murah dan lain-lain lagi.

Cikgu Samm juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu tentang pengiraan untung dan rugi bagi setiap kos pengeluaran sesuatu produk.

Dia juga berkongsi tentang kos-kos tersembunyi yang kadangkala tidak disedari oleh pemborong semasa mereka memborong barangan dari China.

“Salah satu sebab usahawan jarang mendapat keuntungan yang lebih kerana mereka tidak menitikberatkan hal ini.

“Kadangkala mereka terpaksa menjual produk di bawah harga yang sepatutnya atau kurang daripada margin. Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, usahawan yang kekurangan modal juga sebenarnya boleh memborong barangan dari China.

Untuk hal itu, usahawan akan diajar mengenai cara menjual barang dengan menggunakan konsep pra-tempahan.

Cikgu Samm berkata, dia amat gembira kerana hasil tunjuk ajar yang diberikan, ramai usahawan telah berjaya memulakan perniagaan dengan memborong barangan dari China.

“Saya berasa sangat gembira dan puas kerana dapat membantu lebih ramai orang untuk memulakan perniagaan mereka dengan menggunakan teknik yang diberikan.

“Walaupun ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati kerana saya mendedahkan rahsia tentang cara untuk memborong dari China, namun ia bukan masalah kepada saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI