PETALING JAYA – Pelakon Lisdawati sanggup bersanding sekali lagi di atas pelamin bersama suami, lengkap berpakaian pengantin kerana mahu foto perkahwinannya kelihatan sempurna dalam keadaan menutup aurat.
Lisdawati atau nama lengkapnya Nisdawati Nazaruddin, 44, terkilan apabila gambar pernikahannya bersama suami juga pelakon, Fauzi Nawawi yang dipotretkan 15 tahun lalu tidak dapat dikongsikan.
Hal ini kerana ketika itu dirinya masih belum berhijab dan menutup aurat.
“Saya sudah lama merancang untuk mengambil foto baharu. Ketika berkahwin dengan suami 15 tahun lalu, saya masih belum dalam keadaan sempurna (menutup aurat). Jadi saya tak dapat kongsikan.
“Jadi hari ini (semalam), sempena meraikan majlis ulang tahun kelahiran yang ke-44, saya buat sekali majlis persandingan.
“Apa yang penting saya mahukan gambar perkahwinan sebagai kenangan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar pelakon yang mencipta nama menerusi filem KL Menjerit itu lagi, sewaktu pernikahannya dahulu, dia mengenakan persalinan berwarna hijau dan songket kuning sewaktu majlis resepsi.
Sementara untuk persandingan ‘ganti’ kali kedua ini, dia memilih busana berona biru untuk ‘majlis nikah’ dan songket putih sewaktu resepsi.
“Saya buat majlis serba ringkas sahaja, bukan secara besar-besaran. Momen gambar itu yang penting. Saya buat juga video untuk kenangan cucu dan cicit saya nanti.
“Jadi selepas ini, kalau nak guna gambar perkahwinan saya, boleh guna yang terkini,” jelasnya.
Sewaktu disoal tentang rahsia kebahagiaan rumah tangganya yang dibina selama 15 tahun bersama Fauzi, pelakon yang kini bergelar nenek kepada dua orang cucu itu berkata, perkahwinannya juga tidak terkecuali mengalami proses pasang dan surut.
Namun jalan penyelesaian termasuk cara berkomunikasi menjadi penyelamat rumah tangga yang dibina untuk terus kekal bahagia.
“Setiap pasangan yang berkahwin akan melalui fasa yang sama. Apa yang membezakan adalah bagaimana untuk bertahan, bersabar dan berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah.
“Kami tidak berbincang depan-depan. Kalau ada masalah yang memerlukan kami berkomunikasi, saya dan suami akan bercakap menerusi mesej sahaja.
“Sebelum ini guna Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Kalau sekarang guna WhatsApp. Kami elak berjumpa kerana takut akan bertikam lidah. Jadi bila kedua-duanya sudah ‘sejuk hati’, baru kami akan bersemuka,” katanya.
Untuk info, Lisdawati mendirikan rumah tangga bersama Fauzi, 50, pada 9 September 2007.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 14, Nur Aina Fazneesya,13, Ahmad Nur Fyrdaus, 8, dan Ahmad Nur Fayyadh, 3.
Lisdawati juga mempunyai empat orang anak tiri menerusi perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, 27, Fareez Hazwan, 25, Nurul Hana Farisya, 23, dan Mohd. Fikri Hakimi, 20. – KOSMO! ONLINE