fbpx

Dua produk baharu Jasmine berasas bihun dan beras basmathi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Swee Keat bersama Duta JASMINE, Datuk Jalaluddin Hassan pada majlis memperkenalkan dua produk baharunya, di Serai@Paradigm Mall, Petaling Jaya. - FOTO/ AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Syarikat pengeluar dan pengedar beras terkenal negara, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine) memperkenal dua produk baharu makanan berasakan bihun dan beras basmathi iaitu Bihun Segera XXL dan PusaCream EZ Briyani Meals sedia dimasak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Sew Keat berkata, Bibun Segera XXL disajikan bersama dua pilihan perisa asli iaitu sup ayam dan kari putih Pulau Pinang dengan hidangan lebih besar berbanding jenama lain.

Katanya, PusaCream EZ Briyani Meals pula adalah lanjutan daripada PusaCream Parboiled Basmathi yang mana turut menyediakan dua pilihan pes berbeza iaitu ayam masak merah dan kari ayam dan boleh disaji kepada empat hingga lima orang.

“Pengguna menghargai kualiti dan kemudahan, dengan Jasmine PusaCream EZ Briyani mereka dapat menikmati nasi Basmathi berkualiti tinggi bersama dengan pes lazat yang menjadikan penyediaan hidangan cepat, mudah, kemas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran produk Bihun Segera XXL dan Jasmine PusaCream EZ Briyani Meals yang turut dihadiri duta Jasmine Datuk Jalaludin Hasan di sini hari ini.

Sew Keat berkata, pelancaran ini menandakan satu detik penting bagi Jasmine sebagai langkah pertama memperkenal produk baharu selain daripada beras dan bihun tradisional.

“Rangkaian produk baharu itu dihasilkan untuk memenuhi keperluan semasa pengguna. Beras Jasmine telah menjadi makanan ruji dalam isi rumah Malaysia selama lebih 60 tahun.

“Memandangkan pilihan dan cita rasa pengguna semakin berkembang, kami ingin menawarkan produk yang sesuai dengan gaya hidup mereka,” ujarnya.

Jelasnya, Jasmine turut menyasarkan penjualan sebanyak 100,000 karton bagi kedua-dua produk berkenaan dalam tempoh setahun.

Tambahnya, kedua-dua produk berkenaan boleh didapatkan dikebanyakan peruncit terkemuka negara selain ia juga berada di platform e-kedai rasmi Jasmine di Shopee dan Lazada dengan harga sekitar RM8 hingga RM12 bagi Bihun Segera XXL manakala PusaCream EZ Briyani Meals sekitar RM30.

Dalam pada itu, Jasmine turut melancarkan kempen Tahun Baru Cina yang dipanggil ‘Peraduan Priceless Memories Snap dan Menang’ bermula 21 Disember hingga 15 Febuari 2023 menawarkan hadiah berjumlah RM38,888.

“Pengguna hanya perlu membeli produk Jasmine minima RM30, muat naik resit dan gambar bersama keluarga di www.priceless.com.my untuk menyertainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI