fbpx

MSN Melaka perlu RM5 juta persiapan awal Sukma 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shanmugam

MELAKA – Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka memerlukan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk program persediaan dan persiapan awal bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Johor pada 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), V. P. Shanmugam berkata, permohonan bajet itu akan dipertimbangkan kerana ia membabitkan elaun jurulatih dan atlet, pembelian peralatan, sewaan tempat latihan, pakaian, penyertaan pertandingan, pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan.

Menurut beliau, bajet itu penting untuk memperkemas dan mempersiapkan atlet untuk menjalani latihan yang dijadualkan bermula Mac tahun depan hingga Julai 2024.

“Kerajaan negeri bersedia menyediakan peruntukan berkenaan bagi meneruskan kecemerlangan kontinjen Melaka pada Sukma 2024.

“Ia bertujuan untuk mengekalkan semangat para atlet ketika berlatih dengan semua kemudahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) mengenai peruntukan khusus menghadapi Sukma 2024.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, beliau menerima banyak laporan berhubung kekurangan aspek fasiliti sukan yang perlu diberikan perhatian antaranya kerja dinaik taraf dan baik pulih gelanggang futsal, sepak takraw, dan padang bola sepak.

Jelasnya, baik pulih itu penting supaya anak-anak muda dapat memanfaatkan kemudahan tersebut bagi mencungkil bakat baharu sebagai atlet pelapis pada masa depan.

“Kita menyediakan peserta (atlet) Sukma bermula daripada peringkat bawah, apabila kemudahan ini dalam keadaan baik maka anak-anak kita dapat menggunakannya.

“Apabila ada pelbagai kejohanan, mereka akan mengambil bahagian dan MSN serta Jabatan Belia dan Sukan akan memerhati dan membuat penilaian sama ada mereka layak ke peringkat seterusnya untuk pemilihan atlet Sukma,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI