PASIR PUTEH – Jabatan Laut Negeri Kelantan akan mengeluarkan notis amaran laut bergelora kepada 1,340 kapal kerja dan kapal dagang yang keluar masuk muara Tok Bali di sini bermula 17 Disember ini.
Ketua Pejabat Laut Kelantan, Roslinda Muhammad berkata, notis berkait keadaan laut itu dikeluarkan berdasarkan laporan semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sepanjang musim Monsun Timur Laut.
Menurutnya, notis itu merupakan langkah bagi mengekang sebarang musibah di luar jangka sekali gus membataskan kapal belayar di tengah laut dan situasi yang menghalang mereka mudik ke muara.
“Kita akan mengeluarkan notis mengenai ketinggian ombak dan kelajuan tiupan angin yang mungkin berbahaya untuk pergerakan aktiviti di lautan.
“Notis itu dibuat secara komunikasi dengan memaklumkan situasi semasa keadaan laut menerusi radio kapal dan pelbagai pendekatanan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan memadam kebakaran bot dan bangunan di Pejabat Jabatan Laut Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Roslinda, pihaknya yakin bahagian pengurusan kapal dagang sudah mengambil langkah keselamatan yang terbaik selepasnmengikuti laporan MetMalaysia.
Katanya, peringatan bahaya menjalankan aktiviti penangkapan ikan juga telah disampaikan oleh Jabatan Perikanan kepada semua bot nelayan di negeri ini.
“Jabatan Laut mengambil tanggungjawab terhadap pergerakan kapal kerja dan kapal dagang berulang-alik dari Pangkalan Bekalan Tok Bali ke pelantar minyak di sekitar negeri ini.
“Kita mengutamakan keselamatan nyawa warga maritim dan sebarang kerugian aset kapal dagang dengan mengambil langkah susulan memberi peringatan sehingga fenomena laut benar-benar dipastikan selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE