fbpx

Piala Dunia: Bounou akui Argentina, Perancis lebih layak berentap di final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOUNOU gagal mempertahankan gawangnya apabila dua kali dibolosi Perancis pada aksi separuh akhir awal pagi semalam. – AFP

DOHA – Penjaga gol utama Maghribi, Yassine Bounou meng­akui pasukan Perancis lebih ­layak untuk beraksi di perlawanan akhir selain melihat pertembungan menentang Argentina pada Ahad nanti sebagai ‘final impian’ pada kempen Piala Dunia 2022 kali ini.

Harapan pasukan The Atlas Lions untuk terus mencipta sejarah mara ke final tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat separuh akhir apabila tewas 0-2 kepada juara bertahan, Perancis di Stadium Al Bayt awal pagi semalam.

Skuad Les Bleus berjaya mara ke final buat edisi kedua berturut-turut hasil jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani untuk memastikan sai­ngan berakhir dalam tempoh 90 minit.

Bounou yang mewakili kelab Sevilla mengakui ‘pening kepala’ untuk meramalkan pasukan mana yang akan bergelar juara dunia pada kali ini, tetapi meng­akui Argentina memiliki kelebihan yang baik.

“Di atas kertas, kita boleh lihat sokongan yang diberikan kepada Argentina sepanjang kempen Piala Dunia kali ini sangat luar biasa dan saya pasti barisan kejurulatihan mereka bekerja keras untuk merencanakan taktikal terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

“Secara peribadi, saya gembira aksi final kali ini melibatkan dua pasukan gergasi seperti Pe­rancis dan Argentina. Meskipun saya ada pilihan tersendiri, namun saya tidak boleh dedahkan kerana saya memiliki ramai sahabat dalam dua pasukan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dilaporkan telah pergi ke bilik persalinan pasukan Maghribi sejurus selepas wisel penamat ditiupkan bagi memberi kata-kata semangat kepada skuad kendalian Walid Regragui itu.

Difahamkan, Macron memuji kekuatan mental pasukan Maghribi untuk menjadi negara Afrika pertama layak ke peringkat separuh akhir dalam sejarah penganjuran Piala Dunia di Qatar kali ini.

Selain itu, ahli politik itu juga mengakui cukup minat dengan corak permainan tonggak tengah pasukan Maghribi, Sofyan Amrabat yang dianggap sebagai antara pemain terbaik kejohanan Piala Dunia edisi kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI