fbpx

Piala Dunia: Maghribi langsung tiada kekesalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAGHRIBI nyata sudah berpuas hati dengan persembahan mereka di Piala Dunia kali ini biarpun hasrat untuk melangkah ke pentas final tidak tercapai. – AFP

DOHA – Pengendali Maghribi, Walid Regragui mengakui puas selepas membantu pasukan me­lakar sejarah tersendiri meskipun impian mara ke final Piala Dunia tidak kesampaian selepas tewas 0-2 kepada Perancis di pe­ringkat separuh akhir awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Al Bayt itu, skuad The Atlas Lions gagal mengekang asakan juara bertahan dari Eropah itu yang meraih gol hasil jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani untuk menempah slot ke peringkat final pada Ahad ini.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan rekod yang telah dicipta Maghribi sepanjang kempen Piala Dunia kali ini apabila menjadi negara benua Afrika dan bangsa Arab pertama mara ke pentas separuh akhir.

Kata Regragui, barisan pemain tidak perlu bersedih de­ngan kekalahan tersebut kerana sudah memberikan inspirasi serta kegembiraan buat jutaan peminat khususnya warga be­nua Afrika dan bangsa Arab di Asia Barat.

“Pemain harus tahu realiti yang telah mereka cipta ketika ini kerana sambutan yang diberikan terutama daripada pihak media dan peminat adalah sesuatu yang luar biasa serta tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai fenomena.

“Kita telah membuat jutaan orang bangga dan gembira de­ngan pencapaian pasukan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini meskipun gagal melunaskan impian untuk melangkah ke pentas final.

“Sudah tentu kami agak terkilan, tetapi inilah lumrah bola sepak dan keajaiban tidak boleh terus membantu anda sehingga ke perlawanan akhir. Namun, pemain boleh mengubat duka de­ngan pamer prestasi terbaik pada penentuan tempat ketiga nanti,” katanya.

Mengeluas mengenai perlawanan tersebut, Regragui mengakui Perancis lebih layak untuk ber­saing di perlawanan akhir menentang Argentina dan berharap apa yang dilalui akan memberikan pengalaman berharga buat pasukan.

“Ini adalah Perancis yang sebenar dengan status mereka selaku juara bertahan, mereka berhak ke pentas final.

“Cabaran sebenar pasukan adalah untuk kekalkan momentum sedia ada kerana buat masa ini, kita masih jauh jika mahu dibandingkan dengan gergasi bola sepak antarabangsa seperti Sepanyol, Brazil atau England,” katanya.

Maghribi yang menduduki ranking ke-22 dunia akan menentang Croatia pada penentuan tempat ketiga di Stadium Khalifa malam esok. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI