fbpx

Runtuhan siling, peniaga masih berniaga di ruang bawah tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan masih berniaga di ruang bawah tanah selepas runtuhan siling, Ahad lalu.

MELAKA – Selepas lebih 50 aduan kelemahan penyelenggaraan dibuat dan nyawa nyaris tergadai dalam insiden siling runtuh pada Ahad lalu, nasib para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini masih kelabu sehingga hari ini.

Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati, seramai 79 peniaga masih dibiarkan berniaga di ruang bawah tanah itu dengan keadaan struktur bangunan yang dibimbangi tidak utuh dan akan runtuh pada bila-bila masa.

Seorang peniaga, Abdul Rahim Embi, 55, meluahkan kekesalan terhadap kerajaan negeri yang bukan hanya tidak memberikan jalan penyelesaian, sebaliknya mendakwa insiden runtuhan berlaku disebabkan tindakan peniaga menggantungkan barang pada siling.

“Isu keselamatan bangunan ini bukan baharu tetapi sudah berusia lebih 10 tahun, dalam setahun tiga hingga empat kali aduan dibuat kerana ruang bawah ini banjir dimasuki air hujan dan busuk kerana air kumbahan susulan masalah saliran pembentungan.

“Kelmarin siling pula runtuh dan nyaris meragut nyawa peniaga dan pelanggan, kami bukan mahu mencari salah kerajaan negeri tetapi berikan lah penyelesaian terbaik, pindahkan kami ke atas bangunan kerana ruang bawah tanah ini sudah tidak selamat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.

Ujarnya lagi, ruang niaga itu juga tidak lagi relevan kerana tersorok daripada kawasan tumpuan pelancong, malah hampir 50 peniaga telah gulung tikar kerana menanggung bebanan sewa yang lebih tinggi daripada pendapatan.

“Asalnya bazar ini mempunyai 133 peniaga, namun selepas keadaan di sini bertambah suram dengan masalah penyelenggaraan dan pembukaan kedai-kedai baharu di atas, kini hanya tinggal 79 peniaga yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan meneruskan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga, Penjaja, Pengusaha Kecil Melayu Melaka (PPPPKMNM) Cawangan Melaka Bandar, Muhammad Rujahan Sidik berkata, antara penyelesaian segera yang dapat dilakukan kerajaan negeri adalah memindahkan peniaga di kawasan padang di pusat beli-belah.

“Sepatutnya ruang bazar itu dijadikan parkir kenderaan, tetapi terbalik kerana ruang di atas padang ini pula dijadikan parkir valet oleh pihak pengurusan dan peniaga dibiarkan menanggung risiko di bawah tanah.

“Pindahkan peniaga ini di sekitar kawasan padang, itu lebih rasional kerana ruang bawah itu sudah terlalu kelam dan malap buat para peniaga yang selama ini membantu kerajaan negeri menggerakkan industri pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat PPPPKMNM Datuk Mohd.Yusof Abu Hasan mendedahkan, sebelum ini Kumpulan Melaka Berhad (KMB) selaku pemilik padang rekreasi sudah meluluskan pelan induk memindahkan peniaga ke kawasan terbuka, namun tidak dilaksanakan.

“Jadi hari ini saya merayu kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan KMB supaya padang ini dapat dikembalikan seperti rancangan asal dahulu untuk dijadikan gerai alternatif buat peniaga kraftangan di bawah dan lot perniagaan mereka dijadikan ruang parkir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI