KUALA KANGSAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyita kelengkapan dua buah kilang memproses bahan buangan terjadual yang disyaki menjadi punca pencemaran udara dan bau di Kampung Bekor, Manong di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, tindakan sitaan dibuat selepas siasatan mendapati premis berkenaan melanggar peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, premis itu menjalankan aktiviti peleburan logam dengan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) tanpa kelulusan pihak berwajib.
“Kilang yang dibina di atas tanah pertanian ini dipercayai beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu dengan menggunakan khidmat warga asing sebagai pekerja.
“Aktiviti kilang ini terbongkar selepas JAS menerima aduan daripada penduduk yang terganggu dengan bau dan asap yang dikeluarkan kilang berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, kilang tersebut hanya beroperasi pada waktu malam hingga awal pagi,” katanya ketika ditemui selepas menyertai operasi bersepadu kilang haram itu semalam.
Menurut beliau, operasi ke atas kilang itu gagal membuat tangkapan setelah didapati premis berkenaan telah kosong dengan meninggalkan peralatan serta sisa-sisa bahan ketika serbuan.
“Apabila kita masuk kawasan ini kita dapati orang yang menguruskan kilang ini sudah tiada. Apa yang tinggal hanya bukti-bukti operasi termasuk dapur (peralatan melebur), bahan mentah dan fasiliti lain.
“Jadi tindakan menghentikan operasi dilakukan serta-merta di mana kita akan minta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar serta polis untuk pantau kawasan ini sehingga tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS, Rosli Zul berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan pemilik tapak kilang itu daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. – KOSMO! ONLINE