AL KHOR – Juara bertahan, Perancis menarik nafas lega apabila mengesahkan tiket ke pentas final Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Maghribi 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Al Bayt sebentar tadi.
Kemenangan itu secara tidak langsung menamatkan cerita hebat yang sedang dicipta Maghribi di bumi Qatar apabila menjadi pasukan pertama dari benua Afrika beraksi di separuh akhir.
Hasrat The Atlas Lions untuk meneruskan kisah tersebut sehingga ke pentas final tidak menjadi kenyataan seperti dilakukan ke atas dua gergasi Eropah, Sepanyol dan Portugal di pusingan 16 serta suku akhir.
Menariknya, para pemain skuad bimbingan Walid Regragui itu mampu mendabik dada kerana menampilkan permainan yang lebih meyakinkan berbanding Perancis dalam aksi separuh akhir tersebut.
Kedudukan ranking 22 dunia tidak menghalang Maghribi untuk memegang 62 peratus penguasaan permainan dengan melakukan 13 percubaan ke arah gawang Perancis sepanjang tempoh 90 minit.
Bagaimanapun, pengalaman ternyata menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan dan Perancis memenangi perlawanan dengan dua gol menerusi Theo Hernandez seawal minit kelima dan Randal Kolo Muani pada minit ke-79.
Skuad bimbingan Didier Deschamps itu akan berdepan satu lagi pasukan pilihan, Argentina dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Lusail pada Ahad ini.
Les Bleus akan menjadi pasukan ketiga yang berjaya menjulang trofi keramat Piala Dunia selama dua edisi berturut-turut selepas Itali (1934, 1938) dan Brazil pada 1958 serta 1962. – KOSMO! ONLINE