KUALA LUMPUR – Skuad negara teruskan persiapan ke kejohanan Piala AFF 2022 dengan rentak positif selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad negara kendalian Kim Pan-gon menampilkan kesebelasan utama yang berbeza berbanding ketika pasukan menang 4-0 pada aksi persahabatan menentang Kemboja, Jumaat lepas.
Kali ini, beberapa pemain utama seperti Safawi Rasid diberi ruang untuk mengetuai pasukan selain tonggak utama di posisi tengah, Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal dengan penjaga gol dikawal oleh Ahmad Syihan Hazmi.
Tahap keserasian pasukan kebangsaan dilihat tidak begitu menjadi dengan aksi babak pertama sedikit hambar tanpa sebarang ancaman bahaya apabila mudah dipatahkan pasukan lawan yang menduduki ranking ke-154 dunia itu.
Cuma, skuad negara bernasib baik apabila kesilapan benteng pertahanan Maldives berjaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyerang negara, Darren Lok untuk gol pada minit ke-24.
Bersambung pada babak kedua, Pan-gon membuat rombakan dengan memasukkan pemain-pemain gantian seperti Lee Tuck, Stuart Wilkin, Aliff Haiqal Lau dan Sergio Aguero.
Momentum pasukan Harimau Malaya lebih garang apabila Faisal Halim berjaya meledak gol selepas menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh Darren pada minit ke-64.
Faisal yang sebelum ini beraksi dengan kelab Terengganu FC (TFC) hampir menambah jaringan peribadi tetapi tandukan yang dilakukan berselang tiga minit kemudian tidak menepati sasaran.
Peluang terbaik pemain berusia 24 tahun itu hadir pada minit ke-71 tetapi rembatan dari luar kotak penalti yang dilakukan berjaya ditepis penjaga gol lawan, Hussain Shareef.
Malam cemerlang skuad negara diteruskan apabila Lee Tuck menambah gol ketiga pada minit ke-88 selepas bijak menyudahkan umpanan yang dibuat oleh Aguero.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dengan skuad Harimau Malaya tampil ‘sempurna’ pada dua aksi pemanas badan sebelum mengharungi kempen Piala AFF 2022 yang bermula 21 Disember depan.
Skuad negara telah diundi dalam Kumpulan B dijadualkan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember, Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan. – KOSMO! ONLINE