BUENOS AIRES – Kira-kira 20 ahli keluarga dirakam memecah masuk dan mencuri mayat seorang lelaki yang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 di bandar Tartagal, Argentina baru-baru ini.
Menurut portal berita Daily Star, aksi kumpulan itu yang merupakan ahli keluarga kepada mendiang Ramon Juarez dirakam pada Ahad lalu.
Rakaman video menunjukkan kumpulan itu mengusung mayat keluar dari hospital dan meletakkannya di belakang sebuah trak pikap.
Anak perempuan mendiang mengakui perbuatan itu dan berkata, mereka berbuat sedemikian kerana mahu mengucapkan selamat tinggal kepada mendiang bapa.
“Saya ambil keputusan untuk mengeluarkan mayat bapa dari rumah mayat di hospital itu kerana sebagai anak, saya tidak mahu jasadnya dibakar,” katanya.
Sebelum ini, Juarez dimasukkan ke Hospital Juan Domingo Peron akibat masalah jantung sebelum dibenarkan pulang.
Mendiang dirujuk semula ke hospital sama keesokan hari selepas keadaannya bertambah teruk sebelum disahkan maut pada malam Sabtu lalu.
Doktor mengesahkan kematiannya disebabkan jangkitan Covid-19.
Terdahulu, anak perempuan mendiang pernah merayu untuk membawa pulang mayat itu untuk dikebumikan, namun ditolak pihak hospital.
Pengurus hospital, Juan Lopez berkata, laporan polis sudah dibuat terhadap ahli keluarga mendiang kerana melanggar protokol pengendalian mayat pesakit Covid-19.
“Pesakit mengalami kegagalan paru-paru mungkin disebabkan masalah jantung, tetapi juga mungkin kerana Covid-19,” katanya. – Agensi