PUTRAJAYA- Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sudah diarahkan untuk segera membuat laporan polis berhubung isu penganjuran tapak pesta ria atau ‘fun fair’ secara haram.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang turut menegaskan pihaknya tidak pernah berkompromi dalam isu berkenaan.
“Saya difahamkan bahawa tapak itu memang tiada permit dan telah mengarahkan MPKS agar buat laporan polis untuk tindakan susulan.
“Saya berasa kesal dengan insiden itu dan pihak kementerian menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan tegas,” katanya pada sidang media di sini tadi.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan julung kalinya ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diiringi Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk M. Noor Azman Taib.
Kes fun fair di Bandar Puncak Alam itu tular setelah tiga individu terjatuh dalam permainan ‘Sotong Ride’ kelmarin dengan mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Mengulas lebih lanjut, Kor Ming juga mengesyorkan agar pengusahanya dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil PBT selaras Akta Kerajaan Tempatan 1976 atau disebut sebagai Akta 171.
“Pelaku terbabit sebenarnya jika sabit kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, saya memberi jaminan kepada masyarakat bahawa pihak kementerian amat tegas dalam isu sedemikian demi memastikan tahap keselamatan para pengunjung,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE