WOKING – Pengarah Eksekutif Perlumbaan McLaren, Andrea Stella dilantik sebagai prinsipal baharu pasukan itu bagi mengharungi saingan Formula Satu (F1) musim depan bagi menggantikan Andreas Seidl.
Ketua pasukan McLaren, Zak Brown mengambil keputusan tersebut selepas menyaksikan Seidl mahu beralih angin dengan menyertai Sauber Group sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Brown berkata, beliau gembira untuk menaikkan pangkat Stella sebagai prinsipal pasukan berdasarkan pengalaman yang dimiliki mampu memacu pasukan itu menjadi antara pasukan pencabar musim depan.
“Saya sangat gembira dan bangga kerana Andrea Stella akan memegang jawatan sebagai prinsipal pasukan. Beliau akan mengemudi program teknikal serta operasi pasukan bagi saingan musim baharu.
“Andrea merupakan individu sangat berbakat, berpengalaman serta dihormati oleh semua ahli pasukan McLaren selain memiliki rekod kepimpinan cukup baik dalam perlumbaan ini,” katanya.
Sementara itu, Stella melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada McLaren kerana memberi peluang kepadanya untuk menguruskan pasukan itu dan bertekad mahu membantu pasukan kembali berada di grid depan pada setiap perlumbaan.
“Saya rasa sangat terharu kerana diberi penghormatan sebagai prinsipal pasukan. Terima kasih kepada Zak (Brown) dan semua pemegang taruh kerana percaya dengan kemampuan yang saya miliki.
“Kami realistik mengenai kerja yang perlu dilakukan bagi memastikan kami kembali berada di petak hadapan. Saya harap seluruh pasukan boleh bekerjasama bagi mengharungi cabaran baharu ini,” ujarnya. – AGENSI