fbpx

Pelancong hampa beli strawberi import di Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja Opah Farm menyusun produk jualan di hadapan premis perniagaan di Kampung Taman Sedia, Cameron Highlands semalam.

CAMERON HIGHLANDS – Para pelancong yang datang untuk menikmati keenakan buah strawberi di sekitar lokasi pelancongan di sini pada musim cuti sekolah hampa apabila mendapati, rata-rata gerai menjual buah yang diimport.

Bukan sahaja diimport, harga strawberi itu juga dikatakan sedikit mahal berbanding sebelum ini.

Rata-rata mereka berpendapat, perkara itu ia tidak seharus­nya berlaku kerana strawberi cukup sinonim dengan Cameron Highlands sejak sekian lama.

Keadaan itu dipercayai berlaku akibat musim hujan serta kekurangan cahaya matahari secara terus di kawasan berkenaan hingga menyebabkan strawberi tidak dapat dihasilkan seperti biasa.

Menurut pelancong tempatan dari Sungai Besar, Selangor, Mohd. Shakir Mohd. Shazali, 34, dia dan keluarga mengunjungi Kampung Taman Sedia di sini bagi menikmati hidangan berasaskan strawberi.

Musim hujan dan kekurangan cahaya antara penyebab strawberi tidak dapat dihasilkan.

“Agak kecewa juga apabila rata-rata gerai di sini mengakui menjual buah diimport kerana mereka tidak menerima bekalan daripada pengusaha tempatan.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga membeli juga strawberi tersebut kerana itu tujuan utama mengunjungi lokasi pelancongan berkenaan,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Bagi Nur Sarah Mohd. Hafez, 27, dari Nilai, Negeri Sembilan pula, dia dan rakan-rakan membeli buah tersebut walaupun ia dijual pada harga agak mahal daripada biasa.

Katanya, harga mahal itu mungkin disebabkan kekurangan bekalan strawberi yang dialami golongan peniaga di situ.

“Biasanya, saya beli buah ini kira-kira RM15 hingga RM20 bagi setiap 300 gram (g), tetapi hari ini (semalam) ia dijual antara RM25 hingga RM30.

“Disebabkan saya dan rakan-rakan datang dari jauh dan tak nak kecewa serta kempunan, kami beli jugalah buah itu. Kami pejam mata saja,” katanya.

Pengunjung terpaksa berbelanja besar untuk membawa pulang strawberi pada cuti sekolah kali ini.

Sementara itu, seorang pe­ngusaha gerai strawberi, ­Mohammad Zulkepli Daud, 58, berkata, mereka mengalami kekurangan bekalan buah tersebut sejak beberapa hari lalu akibat hujan dan kekurangan cahaya matahari.

“Biasanya kami terima bekalan strawberi setiap hari, tetapi akibat masalah itu, rata-rata ­pengusaha gerai terpaksa mengimport buah tersebut.

“Ia menyebabkan harga jualan meningkat iaitu boleh mencecah RM30 bagi setiap kilogram (kg) berbanding hari biasa RM10,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Pengurus Opah Farm, Mohd. Hafizuddin Nazinal yang berkata, mereka kini menjual strawberi dari negara seperti Amerika Syarikat dan Mesir.

“Inilah kali pertama kami buat begini. Saya berpandangan, keadaan ini akan berterusan sehingga awal tahun hadapan iaitu apabila cuaca kembali pulih.

“Pada hari biasa, kami boleh menjual kira-kira 150kg strawberi, manakala pada hujung ­minggu apabila pelancong ramai, jualannya mencecah 300kg,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI